Thursday, December 3, 2009
MEMORI 2009
Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh guru dan kakitangan SMKM telah memberi impak kepada SMK Mambau yang kini semakain menjadi sebutan di bibir setiap sekolah di Negeri Sembilan. Pelbagai cabaran dan dugaan telah dihadapi dan ditempuh bersama-sama oleh warga sekolah tanpa keluhan dan rungutan. Antara aktiviti-aktiviti yang tidak dapat dilupakan oleh setiap warga sekolah adalah Hari Perpaduan. Aktiviti ini telah menyatukan semua warga sekolah tanpa mengira kaum dan agama selaras dengan matlamat Malaysia untuk mewujudkan suasana 1 Malaysia.
Posted by SMKMAMBAU 0 comments
SEKAPUR SIRIH DARIPADA PENGETUA SMKM
Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadirat Allah SWT kerana dengan taufik dan hidayat-Nya, kita dapat mencipta blog Sekolah Menengah Kebangsaan Mambau bagi tahun 2009. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama padu semua pihak yang telah diamanahkan dan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tugas masing-masing.
Selaras dengan visi sekolah iaitu ’Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang’ dan misi sekolah iaitu ’Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti’, pihak sekolah telah menyediakan suasana kondusif dan penuh informasi ilmu untuk murid-murid SMK Mambau. Hal ini merupakan tanggung jawab sekolah untuk menunaikan janji dan ikrar bagi melahirkan modal insan yang berkualiti yang diperlukan negara serta menyediakan murid-murid supaya mampu menghadapi cabaran globalisasi. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Oleh sebab itu, menjadi tanggung jawab guru-guru dan kakitangan SMK Mambau untuk menyalurkan ilmu dan melicinkan pengurusan di sekolah. Sekiranya perkara ini dipatuhi sudah pasti visi sekolah akan terlaksana dan murid-murid SMK Mambau akan menjadi insan penting kepada ibu bapa, bangsa, agama dan negara.
Mudah-mudahan informasi dalam blog ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh warga SMK Mambau.
HAJJAH NORLIA BINTI ABDUL KARIM
PENGETUA
SMK MAMBAU
Posted by SMKMAMBAU 0 comments



